Khairul Hafiz ambil serius Komanwel

Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dilihat tidak mahu mensia-siakan peluang ketika dia antara yang diberi kepercayaan mewakili negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Meskipun Komanwel bukan tumpuan utama buat pemenang pingat emas acara pecut 100m lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu, namun dia tetap berazam memberikan cabaran sengit.

“Saya akan cuba buat yang terbaik kerana saya berhasrat mara ke final dalam acara pecut 100m. Saya sudah bersedia tanpa mengira siapa pun pesaing nanti,” kata Khairul Hafiz, pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 10.18s.

Ketika temasya di Glasgow, Scotland pada 2014, pingat emas acara 100m menjadi milik Kemar Bailey-Cole dari Jamaica dengan catatan 10.00s diikuti Adam Gemili dari England (10.10s) dan Nickel Ashmeade (Jamaica, 10.12s).

Mengenai acara lari berganti-ganti 4x100m lelaki, Khairul Hafiz berkata, dia berhasrat untuk memperbaharui rekod acara itu.

“Untuk acara 4x100m, saya tidak kisah hendak berganding dengan siapa saja kerana kami akan cuba lakukan yang terbaik. Kalau ada rezeki kami akan cuba cipta rekod baru,” kata Khairul Hafiz yang kini berusia 20 tahun.

Empat tahun lalu, kuartet 4x100m Jamaica yang turut diwakili Usain Bolt memenangi pingat emas sekali gus mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan 37.58s. Perak menjadi milik England (38.02s) sementara gangsa, Trinidad and Tobago (38.10s).

Rekod kebangsaan acara itu pula adalah 39.27s yang dilakar Muhammad Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy ketika KL2017.

One thought on “Khairul Hafiz ambil serius Komanwel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: