Iskandar optimis perbaharui rekod kebangsaan baharu

 

Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi jelas mahu mempamerkan prestasi lebih baik di temasya Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia berbanding penampilan sulung di Glasgow, Scotland pada 2014.

Iskandar mencatatkan lompatan setinggi 5.10 meter di Glasgow, tetapi kini prestasinya dilihat semakin meningkat apabila mencatatkan ketinggian 5.25m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Iskandar mengakui bakal berdepan pesaing hebat menjelang temasya bulan depan namun tidak menafikan dirinya mampu melepasi ketinggian 5.25m pada temasya yang dijadual bermula pada 4 hingga 15 April ini.

“Buat masa ini saya akan cuba mencipta rekod kebangsaan baharu tetapi saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat. Lagipun semua pesaing kuat malah catatan peribadi terbaik saya juga jauh berbanding mereka.

“Kalau boleh saya ingin mencipta keputusan lebih baik berbanding di Glasgow kerana dalam tempoh empat tahun, perlu ada perubahan yang lebih positif,” kata Iskandar, hari ini.

BACA JUGA :  Jonatan Akui Lawan Lebih Siap

Atlet berasal dari Johor ini berkata meskipun tidak berpeluang menyertai latihan di luar negara untuk ke Komanwel, namun dia akan menggunakan pengalaman ditimba di Formia, Itali sebelum KL2017.

“Saya akan menggunakan pengetahuan yang ada ketika menjalani latihan di Formia.

“Selain itu sebelum ke Komanwel, saya akan menyertai Terbuka Kuala Lumpur pada Ahad ini dan ia antara kejohanan pemanas badan saya kali ini,” katanya yang memenangi pingat gangsa di KL2017 dengan catatan 5.25m sekali gus memecahkan rekod kebangsaan.

Untuk rekod, pada temasya empat tahun lalu di Glasgow pingat emas dan perak acara ini masing-masing milik atlet dari England menerusi Steven Lewis dengan catatan 5.55m serta Luke Cutts (5.55m) sementara gangsa milik Shawnacy Barber dari Kanada (5.45m).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: